About IQRaC

     Intellectual Quranic Generation Club ( I.Q.RaC ) merupakan sebuah badan bernaung di bawah Persatuan Kebajikan Maahad Tahfiz Darul Quran ( PERKEMAT DQ ) bagi menjalankan amal Islami dan menjaga kebajikan pelajar Program Pensijilan Tahfiz DQ-UIAM. Sehingga kini sebanyak 17 generasi telah berlalu bermula dari tahun 2000 sehingga 2016. Cetusan idea bagi program ini adalah daripada Profesor Sidek Baba yang merupakan salah seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi merealisasikan harapan negara untuk melahirkan golongan Huffaz Profesional.


Sejarah Penubuhan

     Cadangan untuk mewujudkan program ini lahir di dalam Muzakarah Masa Depan Darul Quran yang dianjurkan oleh JAKIM di Awana Golf & Country Resort, Genting Highlands, Pahang Darul Makmur pada 21-22 Februari 2000. Y. Bhg. Prof Madya Dr. Sidek Baba selaku Ahli Lembaga Pengarah Darul Quran dan Timbalan Rektor ( Hal Ehwal Pelajar dan Disiplin) telah membentang satu kertas kerja bertajuk “ Perancangan Masa Depan Program Akademik Darul Quran”.

     Beliau mencadangkan supaya Darul Quran bukan sahaja memainkan peranan untuk melahirkan hafiz dan hafizah yang layak untuk menjadi imam, guru-guru agama malah layak menhadi ahli sains dan ahli-ahli professional yang lain. Inilah sebenarnya yang telah berjaya dilahirkan semasa era kegemilangan Tamadun Islam seperti Ibn Sina, al- Khindi, al Khawarizmi, Ibn Khaldun, Ibn Rushd dan ramai lagi.

     Oleh itu pada 19 Jun 2000 seramai 7 orang pelajar lepasan Matrikulasi UIAM iaitu 2 lelaki dan 5 perempuan telah ditawarkan untuk mengikuti pengajian di dalam Program Pensijilan Tahfiz al-Quran JAKIM-UIAM di Darul Quran Kuala Kubu Bharu. Selepas tamat pengajian di Darul Quran mereka akan mengikuti pengajian di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Objektif
  1. Mensepadukan ilmu (duniawi dan ukhrawi) untuk melahirkan golongan profesional yang hafiz, mahir lagi berketerampilan selaras dengan keperluan ummah dan negara.
  2. Menyediakan asas penjanaan ke arah melahirkan cendekiawan yang berkemampuan mengembalikan tradisi zaman kegemilangan keilmuan Islam.

Falsafah

     Ilmu pengetahuan disebarkan dalam semangat tauhid ke arah membentuk generasi al Quran yang bertaqwa menjurus kepada pengakuan bahawa Allah itu Esa, Pencipta dan Tuhan bagi sekalian alam.


Pemilihan Pelajar

     Penumpuan adalah kepada pelajar aliran sains institusi / Sekolah Menengah Agama yang mempunyai pencapaian cemerlang berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan SPM. 

     Pemilihan pelajar untuk mengikuti program ini dilakukan oleh satu jawatankuasa yang terdiri daripada Darul Quran dan UIAM melalui proses temuduga berdasarkan wajaran seperti berikut :


  1. Cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM tahun berkenaan
  2. Berkemampuan tinggi untuk menghafaz al-Quran
  3. Personaliti yang tinggi
  4. Aktif dalam kegiatan ko-kurikulum ; 
  5. dan lain-lain perkara yang berkaitan


     Pelajar yang benar-benar berminat, dan berjaya dalam temuduga sahaja akan ditawarkan tempat bagi mengikuti program ini.


Tempoh Pengajian

     Tempoh pengajian program ini ialah selama 18 bulan. Pelajar–pelajar akan didedahkan dengan pembelajaran tahfiz dan lain-lain matapelajaran yang berkaitan


Jangka Masa Pengajian

     Pengajian akan bermula pada bulan Januari ( selepas tamat peperiksaan SPM ) sehingga Jun tahun berikutnya.



PROGRAM PERSIJILAN TAHFIZ AL-QURAN


Tahun
Program
Tempat
1 tahun 6 bulan
Persijilan Tahfiz Al-Quran
Darul Quran, Kuala Kubu Bharu

1 hingga 2 tahun
Program Matrikulasi UIAM
Pusat Asasi UIAM
3 tahun setengah 
hingga 5 tahun
Program Ijazah
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia